Khamis, 7 Julai 2011

GEJALA FUTUR DI MEDAN DAKWAH

Gejala Futur Di Medan Dakwah


Futur adalah salah satu dari jenis-jenis penyakit yang biasanya hinggap 
pada para daie. Dari sudut bahasanya ia membawa kepada dua maksud. 
Yang pertama adalah terputus langsung selepas bersikap konsisten dan berhenti selepas
 aktif bergerak. Yang kedua pula didefinisikan sebagai 
sikap malas, melambat-lambatkan dan bertangguh dalam keadaan dulunya
 sentiasa pantas dan efisien.

Maksud dari istilah penggunaannya pula adalah erti kepada sejenis penyakit yang

 mungkin dan boleh menimpa sebahagian para amil dakwah. Tahap biasa akan 
membawa para daie menjadi malas, bertangguh dan lambat dan jika dijangkiti 
futur tahap kronik, ianya akan membawa kepada putus langsung selepas 
bersikap konsisten dan komited sebelum itu.

Bahaya Futur
Setelah mengetahui serba sedikit tentang definisi futur, saya memilih 
untuk menceritakan tentang bahayanya agar para daie menyedari risiko 
jika tidak memilih jalan yang boleh menjauhkan diri dari gejala futur ini.

الوقاية خير من العلاج

1) Perkara pertama yang bakal menimpa kepada mereka yang futur adalah 
pengabaian terhadap amanah selepas persetujuan kita menerima amanah. Firman Allah :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ
 وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا
 الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada
 langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk 
memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, 
dan dipikullah amanat itu oleh manusia. 
Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.

Cerita disebalik ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah
 dialog antara Allah dan Nabi Adam A.S bilamana Allah menawarkan amanah ini
 kepada baginda lantas baginda bertanya tentang amanah ini. 
Allah berfirman kepada Adam:
إن أطعت غفرت لك وإن عصيت عذبتك
"Jika kamu taat, Aku akan mengampunkan kamu dan jika 
kamu gagal melaksanakannya,
 maka azabKu bagimu"

Maka bahaya pertama adalah amanah terabai dan sekaligus dijanjikan Allah 
dengan azabNya atas mereka yang memungkiri janji dalam melaksanakan amanahNya.

2) Gugur dari jalan dakwah. Perkara ini adalah satu yang patut dipandang serius oleh 
para daie yang memilih jalan dakwah sebagai landasan hidup mereka. 
Semakin hari, maka sikap diam dari dakwah ini akan sebati dan membenih di dalam hati,
 lalu satu lagi amanah Allah diabaikan.

3) Mengakhiri hidup dalam keadaan futur. Sedangkan amal manusia itu 
ditentukan berdasar kepada penghujung hidup kita. Sabda Rasulullah s.a.w :
                         ،إن العبد ليعمل عمل أهل النار وإنه من أهل الجنة
               ويعمل عمل أهل الجنة وإنه من أهل النار
                            وإنما الأعمال بالخواتيم
      Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal
                          ia termasuk ahli syurga dan ada yang melakukan amalan 
                      ahli syurga sedangkan ia termasuk dalam golongan ahli neraka, 
              sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada penghujung hidupnya

Dibimbangi jika kita futur dan kita mati, maka amal baik yang dilakukan sebelum ini 
menjadi debu dan sia-sia.

Faktor Yang Membawa Kepada Penyakit Futur

1- Melampau dan berlebih-lebih dalam mengerjakan perkara agama.

2- Terlalu menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang harus 

seperti makan, minum, tidur dan lain-lain.

3- Perpecahan yang berlaku dalam jemaah, konteks pemimpin adalah putus asa 

dan dalam konteks ahli adalah bosan dengan perpecahan lantas memilih 
untuk mengasingkan diri.

4- Kurang mengingati mati dan hari akhirat. Lupa bahawa hari itu akan

 dihisab segala amalan.

5- Kurang beribadat

6- Masuknya benda-benda haram dan syubhah ke dalam kantung perut masing-masing.

7- Para amil dakwah menumpukan hanya kepada satu perkara dalam 

agama dan bersikap acuh tak acuh kepada perkara lain.

8- Bersikap sambil lewa terhadap sunnatuLlah di dalam kehidupan.

9- Bersahabat dengan orang yang tidak punya azam yang tinggi dan cita-cita yang besar.

10- Tiada persedian dalam berhadapan dengan liku-liku dalam dakwah.

11- Tidak memberi hak kepada badan dek kerana terlampau banyak

 kewajipan dan kurangnya aktivis dakwah.

12- Melakukan maksiat samada kecil atau besar.

Penawar Futur

1- Membaca al-Quran dan mengambil iktibar dari kisah-kisah al-Quran. 

Oleh itu sewajarnya bagi setiap amil agar memiliki satu al-Quran dan terjemahannya.

2- Menyelami Seerah Nabawiyyah

3- Membaca sejarah-sejarah pejuang Islam.

4- Melazimi solat-solat jemaah

5- Menpergiatkan amalan sunat. Istighfar, zikir, memberi salam dan sebagainya.

6- Mengelak dari melakukan perkara makruh.

7- Selalu bersama orang yang soleh.

8- Menghadiri majlis ilmu.

9- Selalu berhubung sesama ahli.

10- Pengurusan yang baik dan berdisiplin.

11- menjaga masa

12- Kreatif dalam membina aktiviti

13- Membina kesatuan fikrah dan amal

14- Melazimkan diri dengan aktiviti jamaah.

3 nasihat:

Nur Aqilah berkata...

Alhamdulillah, post macamni la yg selalu ditunggu2..
sepanjang cuti ni, terfikir juga macamana nak elakkan drpd futur ni..
jazakillah kerana sharing:)

zinnirah_humaira' berkata...

jazakillah ya ukhti..

masyi berkata...

Dan tepatilah janji dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu melanggar sumpah setelah diikrarkan, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (An-Nahl :91)

Catat Ulasan

 
Copyright (c) 2010 Haura Munawwarah. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.